BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 25, 2011

Info Solat:Berdiri Tegak Dalam Solat

Berdiri tegak dalam solat bagi yang mampu merupakan salah satu rukun dalam solat.Ia adalah suatu simbolik seseorang yang berdiri dengan tubuh dan rohnya di hadapan Tuhan  sekalian alam,Yang Maha Mendengar apa yang diucapkan dan juga mengetahui apa yang diniatkan oleh hamba-hamba-Nya.Tidak syak lagi  yang melakukan lima kali sehari  pastinya akan meninggalkan kesan terhadap tindak-tanduk sehariannya kerana merasakan kebesaran Allah S.W.T yang Maha Melihat dan mengawasinya.

Dalil Wajib Berdiri

  Allah telah berfirman didalam Surah al-Baqarah juz 2 ayat 238 yang bermaksud:"Dan berdirilah untuk Allah S.W.T dalam keadaan taat(khusyuk)."

  Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:"Bersolatlah kamu dalam keadaan berdiri,jika tiada kemampuan duduklah dan jika tidak berkemampuan maka dalam keadaan mengiring di atas rusukmu."(Riwayat al-Bukhari)

  Para ulama empat mazhab telah sepakat dalam mewajibkan berdiri tegak ketika mendirikan solat fardu bagi individu yang berkemampuan.Walau bagaimanapun,tidak wajib berdiri ketika solat sunat walaupun dalam keadaan berkemampuan kerana kerangka asas solat sunat dibina atas dasar keringanan.Namun pahalanya adalah separuh daripada mereka yang solat sunat secara berdiri.

  Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Solat duduk adalah (pahalanya) sebahagian daripada solat dalam keadaan berdiri."(Riwayat Malik,jil. 1,hlm.136 dan Muslim no. 735)

  

Monday, February 14, 2011

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL:BUKAN SEKADAR RITUAL SEMATA-MATA

  12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini.Bermula dari hari itu,cara hidup manusia di dunia berubah dari masyarakat yang kufur menjadi taat kepada hukum-hukum Allah.Jelas kelahiran baginda membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia,mengubah jiwa manusia dari sifat kebatilan kepada kebenaran,kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

  Sebagaimana kelaziman,maulidur rasul atau satu ketika dahulu lebih dikenali sebagai maulud nabi,akan disambut pada setiap 12 Rabiulawal di seluruh negara sempena menyambut dan memperingati hari keputeraan Rasulullah.Sambutan ini disertakan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah agama,perarakan dan berselawat sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang merupakan kekasih Allah.

  Dalam firman Allah SWT bermaksud : "Demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keadaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab,ayat 21)

  Sebagai seorang mukmin,Nabi Muhammad SAW adalah merupakan seorang insan yang sememangnya patut dijadikan idola kerana keperinadian unggul dan budi perkerti yang mulia.Peribadi baginda benar-benar luhur,manakala jiwa dan hatinya yang suci dan bersih.Cara kehidupan baginda mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti ibadah,politik,kepimpinan,pendakwah,pejuang,perniagaan,perhubungan kemasyarakatan dan akhlak.

  Melelui maulidur rasul ini,banyak pengertian yang harus kita selami bagi memperingati diri sendiri kan sifat-sifat murni dan teladan yang baik yang harus dicontohi dalam mengerjakan aktiviti seharian kita bermula dari celik mata sehinggalah kita merehatkan diri di malam hari.Pengertian maulidur rasul ini bukan setakat memperingati akan tarikh kelahiran Nabi Muhammad,akan tetapi penjelasan tentang cara hidup dan pemikiran seorang mukmin tidak mengira apa jua status yang dipegang.

  Sehubungan dengan itu,sambutan berkenaan harus disusuli dengan semangat kecintaan kepada Allah dan Rasulullah serta disertai dengan ilmu pengetahuan agar ianya tidak sekadar menjadi ritual tahunan semata-mata.

Thursday, February 10, 2011

Empat Golongan Penentang Kebenaran

   Apabila ada usaha untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar,pasti ada penentangnya.Anehnya,penentangan itu acap kali datang daripada umat Islam sendiri.Mengapa terjadi begini?Mengapa manusia melakukan kemungkaran?


  Jika diteliti ada empat sebab mengapa seseorang itu melakukan kemungkaran.Dengan sebab-sebab itu,pelaku kemungkaran juga terdiri daripada empat golongan.Golongan itu ialah:

1)Orang Yang Jahil
  Golongan yang melanggar hukum,tidak mentaati undang-undang tuhan atau hukum-hukum agama kerana mereka tidak tahu (jahil).Golongan ini amat mudah ditangani.Mereka cuma perlu diberitahu bagaimana untuk mendapatkan ilmu.Kemudia dengan ilmu mereka akan dapat meninggalkan perkara-perkara yang mungkar itu dan melaksanakan perkara yang makruf.

  Golongan ini hanya perlu diberi ilmu dan kesedaran yang berterusan.Janganlah kejahilan itu dibiarkan.Ingatlah,Islam ialah agama yang paling mudah disalahtafsirkan bukan sahaja oleh orang bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri.Dan akibatnya mereka memusuhi Islam,tepat seperti pepatah Arab,"Seseorang itu memusuhi apa yang dia tidak ketahui!"

2)Tidak Mampu Melawan Nafsu

  Mereka ini melakukan kejahatan bukan kerana dia tidak tahu,tetapi kerana tidak mampu meninggalkan akibat dipengaruhi hawa nafsu.Golongan ini boleh ditangani dengan cara mendidik dan mengawal untuk menyalurkan hawa nafsu mereka mengikut peraturan-peraturan Islam.

  Bagaimana menghadapi golongan ini?Jika golongan pertama kita berikan ilmu,golongan ini perlukan dakwah dan tarbiah yang berterusan.Mereka perlu mendekati untuk menyelesaikan masalah hidup mereka dan diberi keyakinan bahawa mereka perlu melawan hawa nafsu.

  Golongan kedua ini lebih sukar untuk kita hadapi daripada golongan pertama.Mereka bukan sekadar perlu diberitahu tetapi beberapa proses lagi perlu dijalankan seperti berdakwah,mendidik,membimbing,mengasuh serta memberi alternatif kepada runtunan nafsu yang mendorong ke arah mungkar.Contohnya,nafsu yang cenderung berzina,dididik dan diberi laluan untuk bernikah.

3)Mempunyai Kepentingan


  Golongan ketiga lebih sukar kita hadapi iaitu orang yang mempunyai kepentingan dengan kemungkaran atau kejahatan yang dilakukan.Mereka mempromosikan kemungkaran kerana mendapat keuntungan peribadi melaluinya.


  Untuk mengembalikan mereka kepada kebenaran,bukan sekadar melawan kerakusan nafsu,tetapi perlu meninggalkan kepentingan hasil kemungkaran yang mereka promosikan.Ini memang sukar.


  Kalau kejahatan sudah menjadi sumber pendapatan mereka atau kejahatan itu menjadi tempat mereka meraih nama dan kemasyhuran,maka mereka perlu disedarkan dengan mendidik hawa nafsu.Tetapi yang paling penting mereka perlu diberi jalan keluar supaya mereka mendapat sumber pendapatan yang halal jika meninggalkan perkara haram tadi.


  Oleh sebab itu,pendakwah atau orang yang ingin menyeru bukan semata-mata dalam bentuk kata-kata,tetapi datang membawa model atau satu pendekatan sikap yang boleh dicontohi.


4)Ada Isme Perjuangan


  Golongan yang keempat ialah orang yang melakukan kejahatan kerana merasakan perbuatan itu satu kebenaran.Sebaliknya mereka meninggalkan kebenaran kerana merasakan amalan itu satu kejahatan.


  Golongan ini paling degil dan paling sukar dihadapi.Untuk menghadapi golongan ini,kita terpaksa menghadapi golongan pertama,golongan kedua dan golongan ketiga dahulu.Hal ini kerana golongan keempat yang sangat degil ini mendapat kekuatan hasil sokongan daripada golongan pertama,kedua dan ketiga.


  Jadi,untuk menghadapi mereka,hendaklah "menawan" golongan pertama,kedua dan ketiga.Ini dengan sendirinya akan memencilkan golongan keempat kerana penyokong-penyokong mereka telah berpaling tadah!